Bab : PERTUNANGAN DAN MEMILIH JODOH MENURUT ISLAM
1) PENDAHULUAN
Allah SWT telah mencipta makhlukNya dengan berpasangan termasuklah manusia di mana manusia dari Adam AS. Kemudian Allah ciptakan daripadanya Siti Hawa AS menjadikan berpasangan suami isteri sehingga lahirlah keturunan yang ramai terdiri dari lelaki dan perempuan. Kedua insane yang berlainan jenis ini saling perlu memerlukan antara satu sama lain justeru itu timbullah bibit-bibit cinta dan perasaan kasih sayang ibarat anak kecil merintih memerlukan belaian ibu yang dikasihi. Dan seterusnya ingin berkongsi hidup sebagaimana makhluk yang lain yang melata di bumi Allah ini.
Dalam konteks ini, Islam telah memberi garis panduan bagaimana untuk memilih calon suami dan calon isteri bermula dari pertunangan sehingga ke alam perkahwinan.
2) PERTUNANGAN
Peminangan ialah pernyataan atau permintaan dari seorang lelaki kepada pihak perempuan untuk mengahwininya baik dilakukan olehnya sendiri ataupun dengan perantaraan pihak-pihak tertentu yang dipercayai ataupun keluarganya sesuai dengan kehendak Islam.
Ke Arah Pertunangan
Sebelum diadakan peminangan, langkah permulaan ialah memilih pasangan yang akan menjadi calon suami atau isteri mengikut lunas-lunas yang disyariatkan oleh Allah SWT.
3) MEMILIH LELAKI
Lelaki yang paling diutamakan ialah lelaki yang soleh yang mempunyai pendidikan agama yang sempurna serta berpegang teguh dengan ajaran Islam. Di mana melalui panduan agama, seorang suami itu berwajiban menggauli isterinya dengan baik dan memberi nafkah sesuai dengan tuntutan Islam.
Firman Allah Taala dalam surah An-Nisaa’ ayat 34: Maksudnya :
“Lelaki itu pemimpin yang bertanggungjawab atas kaum wanita dan kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana telah membelanjakan harta mereka”.
Dalam ayat di atas jelas bahawa suami mempunyai kekuasaan terhadap isteri di mana isteri hanya membantu suami dalam urusan rumahtangga. Lelaki yang benar-benar dapat mengendalikan kewajiban seorang suami mestilah berupaya menjadi ketua keluarga yang bertugas memimpin, mendidik dan memberi kasih sayang terhadap rumahtangga.
Di antara faktor penting dalam mengutamakan agama yang disarankan oleh Islam ialah :-
1. Mempunyai akidah yang sempurna dan kefahaman agama yang kukuh serta praktikal.
2. Melaksanakan syariat Islam berdasarkan prinsip yang berterusan.
3. Mengamalkan sikap kesederhanaan dalam hidupnya.
4. Mengetahui besarnya ganjaran nafkah di dalam rumahtangga.
Selain dari itu wajar bagi lelaki seorang yang tajam fikirannya, bijak menyelesaikan masalah, mempunyai sifat-sifat yang mulia, seorang yang penyayang, suka memberi dan menerima, bertolak ansur dan mengambil berat terhadap keluarganya.
Walau bagaimanapun, sebagai kaum lelaki sudah masanya dari sekarang melengkapkan diri dengan mencari dan mempelajari ilmu Islam sebanyak mungkin untuk persediaan di hari muka. Oleh itu, ingatlah bahawa kaum wanita pada hari ini sudah mengerti memilih calonnya di mana bukan sahaja lelaki yang kacak malahan bijak pula dalam selok belok agama yang sememangnya layak menjadi suami.
4) MEMILIH PEREMPUAN
Di antara garis panduan memilih calon isteri yang dianjurkan oleh Islam ialah supaya pemilihan yang dibuat benar-benar dapat menjamin kerukunan rumahtangga dan dapat menjadi aman damai serta diberkati Allah sepanjang masa.
Aspek yang utama ditinjau dari hadis Rasulullah SAW ialah dengan sabdanya, maksudnya :
Dikahwini perempuan (dijadikan isteri) itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka utamakanlah perempuan yang mempunyai agama dan beruntunglah hidup kamu…”
Di antara yang disunatkan dan digalakkan memilih perempuan untuk dipinang ialah :
a. Zuriat yang banyak
Memilih perempuan yang boleh mendatangkan zuriat yang banyak memanglah digalakkan oleh Islam. Di sini boleh diperhatikan dari sudut keluarganya (keturunannya) di samping kesuburan tubuh badan di mana tidak menghalang ianya hamil. Selain itu, umur juga boleh diambil kira bagi mengekalkan zuriat yang banyak.
b. Anak gadis / bujang
Pemilihan anak gadis amat dititik beratkan kerana di mana usia gadis, kurang bebanan peribadi. Segalanya-galanya serba baru, dapat mengeratkan kasih sayang tanpa gangguan. Tenaga yang masih muda dapat memberi sepenuh masa untuk suami. Walau bagaimanapun, memilih seorang janda juga digalakkan sekiranya di sana ada tujuan yang baik untuk memilihnya.
c. Sedikit mas kahwin
Perempuan yang menjadi pilihan adalah sedikit belanja mas kahwinnya di mana mudah bagi pihak lelaki menjelaskannya dan sesuai dengan tuntutan Islam. Sekiranya terlalu besar mas kahwin itu, bukan sahaja menjadi keberatan bagi lelaki malah boleh memberi kesan yang negatif di masa akan datang.
d. Bukan hubungan keluarga
Pemilihan ini bagi meluaskan skop keturunan di mana keluarga akan bertambah ramai lagi dan mental sesebuah keluarga itu boleh mempengaruhi hidup. Lebih-lebih lagi perhubungan sebuah keluarga dengan keluarga dalam menemukan jodoh.
e. Baligh
Memilih perempuan biarlah ianya sudah cukup umur (baligh) di mana dapat memahami ertu perkahwinan, berfikir secara orang dewasa, kurang memberi tunjuk ajar, tidak mudah merajuk dan juga boleh hamil.
f. Akal yang sempurna
Memilih akal yang sempurna ialah berfikir secara seorang muslim yang soleh, gemar membaca Al-Quran serta memahaminya, mengetahui hala dan haram, banyak bersabar, bertindak dengan adil dan juga menghormati hak dirinya dan hak orang lain.
g. Sesuai (kufu)
Persesuaian adalah diperlukan untuk memilih pasangan hidup lebih-lebih lagi dalam dunia moden ini di mana wanita mempunyai kedudukan yang agak sama dengan kaum lelaki malah terdapat lebih dari lelaki. Hal ini kadangkala menjadi isu besar di kalangan ibu dan bapa hari ini, kononya anak perempuannya tidak sesuai berkahwin. Tetapi dalam masa yang sama juga mereka telah keluar dan bebas bergaul tanpa dilarang oleh ibubapanya.
Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 235, ertinya :
“Tidak berdosa meminang perempuan (yang dalam idah lagi dengan kata sindirian)”
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, maksudnya:
“Apabila seorang dari kamu meminang perempuan, sekiranya dia dapat lihat perempuan itu hendaklah dia melihatnya sehingga bertambah keinginan kepada perkahwinan”.
Sebelum meminang, seorang lelaki harus melihat perempuan yang akan dipinang pada muka dan dua tapak tangan sahaja. Dan begitu juga sebaliknya dengan tujuan untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya agar kedua-duanya dapat menepati kehendak dan maksud masing-masing.
Menurut pendapat jumhur ulamak, melihat pada perempuan dengan tujuan meminang hanya tertentu pada muka dan dua tapak tangannya. Kerana dengan melihat muka dapat diketahui kecantikan raut muka serta paras rupa untuk calon isteri atau sebaliknya. Sementara melihat kedua tapak tangan bertujuan supaya dapat mengetahui kesuburan badan.
Sabda Rasulullah SAW, ertinya :
“Apabila salah seorang daripada kamu meminang perempuan maka tidak berdosa atasnya melihat perempuan itu asalkan sahaja semata-mata untuk meminangnya sekalipun dia tidak mengetahui”.
Rasulullah SAW pernah menyuruh sahabatnya yang bernama Mughirah bin Syukbah, sabdanya bermaksud :
“Lihat dahulu perempuan itu maka melihatnya adalah pokok utama bagi suami isteri hidup dalam aman damai”
Keharusan pihak lelaki boleh melihat perempuan yang akan dipinang pada anggota-anggota yang telah disebutkan sebelum ini walaupun dengan tanpa keredhaannya, dan sebaik-baiknya kehadiran pihak lelaki itu hendaknyalah waktu melihat itu dilakukan sebelum meminang, Ini kerana seandainya ia tidak secucuk di hati pihak lelaki dengan sebab-sebab yang tertentu bolehlah ia mengundurkan diri tanpa akan menyakitinya.
Jika kedapatan pihak lelaki tidak berupaya melihat perempuan yang akan dipinang oleh sesuatu sebab, maka bolehlah ia mengutuskan orang tertentu yang dipercayai sebagai perantaraan untuk pergi melihatnya. Ini supaya orang tadi menerangkan sifat-sifat peribadi serta keadaan perempuan itu yang mana bertujuan untuk mengahwininya.
Kedapatan beberapa perkara yang amat diambil berat oleh syarak dalam soal pinang meminang iaitu :
a. Peminangan tidak boleh dilakukan kepada wanita yang dipinang oleh seseorang melainkan ianya telah melepaskan hak peminangannya.
Sabda Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, maksudnya :
“Orang muslim adalah saudara orang mukmin, maka tidak halal bagi seorang mukmin meminang seorang perempuan yang sedang dipinang oleh saudaranya hingga nyata sudah ditinggalkan”.
Sabda Nabi SAW, maksudnya :
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya. Maka sesungguhnya orang yang ketiga bersama dengannya ialah syaitan kecuali bersama mahram.”
b. Haram seorang lelaki meminang dengan cara terus terang seorang perempuan yang di dalam eddah sama ada raj’i atau bain atau eddah wafat. Dan haram meminang cara sindiran perempuan yang di dalam eddah raj’i, dan dibolehkan meminang secara sindiran perempuan yang di dalam eddah wafat tanpa khilaf dan diharuskan juga meminang perempuan yang dalam eddah bain sama ada disebabkan perceraian atau fasakh menurut pendapat yang terkuat dari pendapat Imam Syafie.
Contoh ayat Sareh :
“Apabila telah habis eddahmu, aku akan berkahwin dengan kamu”.
Contoh ayat Kinayah :
“Kamu ini cantik, banyak lelaki inginkan kamu”.
c. Wanita yang akan dipinang bukan mahramnya yang mana dilarang dalam perkahwinan.
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud :
“Lihatlah dia (bakal tunangan) dengan ini akan lebih menguatkan (mengeratkan) perhubungan kamu berdua”.
Perlu diingat walaupun Islam mengharuskan melihat perempuan ajnabi dengan tujuan meminang tetapi janganlah ia mengambil peluang untuk memuaskan perasaan atau hawa nafsunya. Malahan menjadi haram semula sekiranya hajat melihatnya itu sudah mencukupi atau langkah peminangan.
5) TUJUAN PERTUNANGAN
Di antara tujuan pertunangan ialah :
1. Persetujuan mengikut janji untuk perkahwinan.
2. Untuk menghebahkan kepada masyarakat sekeliling.
3. Supaya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara keluarga kedua belah pihak.
4. Hendak melahirkan sikap jimat cermat dan membentuk ciri-ciri kejujuran serta keyakinan diri.
5. Untuk menentukan kadar mahar (mas kahwin) dan lain-lain pemberian.
6. Untuk menentukan tarikh, tempat dan hari perkahwinan yang dipersetujui.
7. Persediaan mempelajari hukum perkahwinan sebelum mendirikan rumahtangga.
Sayugia bahawa perempuan yang paling baik menjadi bakal isteri yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya, maksudnya:
Sebaik-baik perempuan (isteri) apabila kamu menatapinya menyeronokkan hati kamu(suami), apabila disuruh oleh kamu dia mentaati suruhan dan apabila kamu tiada dia sentiasa menjaga dirinya dan harta kamu”.
Wajar juga wanita yang bijak mengatur rumahtangga, berjimat cermat, rajin dan pandai menyimpan, tambahan pula dapat melapangkan dada suami, semua ini diambil kira di dalam memilih jodoh.
6) CARA MEMINANG
1. Memulai majlis meminang dengan bertahmid.
2. Sendiri atau melalui orang lain, jika ada waris keluarga lebih baik supaya mereka yang bertandang untuk meminang.
3. Pemberian sebagai adat tanda jadi ikatan pertunangan boleh diterima asal tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
4. Bersetuju menerima pinangan di antara kedua belah pihak dengan janji tertentu dan tidak memakan masa yang lama.
5. Wakil yang adil menyampaikan hajat pinang mengikut adat kelaziman negara itu sama ada melalui sareh atau kinayah.
6. Segala persetujuan hendaklah disaksikan atau ditulis.
Walaupun setelah pertunangan antara pihak lelaki dan pihak perempuan dimeteraikan melalui istiadat perminangan oleh kedua belah pihak keluarga, akan tetapi perhubungan di antara mereka tetap dianggap seperti hubungan ajnabi dengan ajnabiah yang lain.
Maka sewajarnyalah sama-sama menjaga suasana perhubungan itu dengan baik agar tidak bertentangan dengan ajaran-ajaran Islam yang maha suci.
Wallahua’lam