Friday, December 16, 2011

4 Tips Persediaan Melangkah ke Gerbang Perkahwinan

Membina rumah tangga bukan seperti membina istana pasir di tepi pantai, sekali ombak datang istana roboh berderai. Seboleh-bolehnya jadikanlah binaan itu kukuh, sekuat istana konkrit, biar dilanda ombak dan taufan ia tetap utuh dan teguh. Namun membina kekukuhan dalam perkahwinan memerlukan ramuan yang padat bukan sahaja dari segi kekuatan fizikal, mental, spiritual malah kemantapan ekonomi dan sosial.

1. Minda dan Kerohanian

Pasangan yang ingin berkahwin perlu mempersiapkan minda supaya cekal memikul tanggungjawab sebagai suami isteri. Setiap pasangan juga perlu bersikap matang. Setiap pasangan hendaklah mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan hal ehwal rumahtangga. Soal hukum hakam dan ilmu agama adalah sangat penting untuk di terapkan dalam kehidupan harian. Begitu juga kemahiran berkomunikasi, menguruskan kewangan, tenaga, masa dan kemahiran mengatasi tekanan.

2. Persediaan Fizikal

Bakal pengantin perlu menjaga diri dan seboleh-bolehnya bebas daripada sebarang penyakit berjangkit. Kesihatan yang baik membolehkan pasangan hidup bahagia dan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Kematangan fizikal pula penting terutama bakal isteri yang inginkan anak sebaik sahaja berkahwin. Bagi seorang wanita, mengandung pada umur kurang dari 18 tahun adalah tidak digalakkan kerana pada umur tersebut, tubuh badan wanita belum bersedia untuk mengalami perubahan fizikal dan fisiologi semasa mengandung. Umur yang sesuai bagi wanita untuk menjadi seorang ibu adalah antara 20-30 tahun.

3. Persediaan Ekonomi

Tugas dan tanggungjawab utama suami ialah member nafkah kepada isteri mengikut kadar kemampuannya. Sebarang sumbangan isteri berhubung dengan perbelanjaan rumahtangga adalah merupakah sedekah daripada isteri.

4. Persediaan Sosial

Perkahwinan membawa kepada perubahan peranan bagi kedua-dua belah pihak. Contohnya: mereka yang berumahtangga mempunyai jaringan hubungan sosial dengan mertua dan saudara-mara pasangan masing-masing. Oleh itu, bakal pengantin perlu memastikan diri mereka bersedia menerima nasihat dan tunjuk ajar daripada keluarga masing-masing.

No comments:

Post a Comment