Monday, March 25, 2013

Selamat Hari Polis ke 206 Tahun 2013

Hari ini 25 Mac, 2013 merupakan hari polis yang ke 206. Bagi menghargai jasa mereka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerbangkan khas 93 anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung di dalam Ops Daulat untuk menyertai perbarisan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol)Walaupun bukan semua yang diterbangkan ke sana, anggota polis yang tinggal tetap bersemangat.



Bagi polis-polis yang ada di Malaysia ini, tidak kiralah yang bertugas sebagai anggota trafik, penyiasat jenayah, menjaga bangunan-bangunan kerajaan, menjaga system penting negara ataupun menjadi bakal pelapis nanti, saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada mereka-mereka yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan ikhlas dan tulus serta jujur.

Rasuah, kronisme adalah antara isu yang paling sinonim dikaitkan institusi polis. Dan pelbagai golongan masyarakat sudah mengetahui yang dari sekecil-kecil jawatan polis sehingga ke paling atas, anggota polis ramai yang terlibat dengan dua gejala ini. Tetapi jika kita bandingkan dengan pekerjaan lain, sebenarnya isu ini adalah lebih kurang saja impaknya.Mungkin polis lebih terdedah dengan gejala-gejala ini kerana mereka setiap hari akan berurusan dengan orang awam. 




Kewujudannya adalah sebelum negara Malaysia mencapai kemerdekaan lagi iaitu ketika mana sebelum timbulnya saat sukar dan genting zaman darurat di Persekutuan Tanah Melayu. Dahulu ianya ibarat suatu penglibatan masyarakat setempat atau penempatan desa dan juga pinggir bandar bagi maksud membantu pihak berkuasa iaitu Federation of Malaya Police, dan tiada istilah khusus mengenainya.

Pihak kolonial ketika itu memanggilnya dengan panggilan “Auxiliary Police” atau Polis Bantuan. Keanggotaannya ketika itu terdiri daripada masyarakat awam yang sukarela untuk berbakti tanpa menuntut saraan bulanan. Auxiliary Police atau Polis Bantuan dan Polis hari ini adalah dua pertubuhan berbeza dari segi penugasan dan juga pembatasan kuasanya.



Sejarah PDRM dan Pasukan Sukarelawan Polis

25 Mac 1807 – Pegawai British pertama menjadi ketua polis berpangkat Sheriff.

1825 – Penubuhan Burglar Guard di Melaka bagi mengawal keselamatan pelabuhan dan persekitarannya ketika itu.

1856 – Negeri Pulau Pinang, Melaka dan Singapura telah digabungkan dan wujudlah Straits settlement of Police.

1874 – British meluaskan jajahan takluknya di negeri Perak, Negeri Sembilan dan Pahang, serta melengkapkan negeri – negeri tersebutu dengan pasukan polisnya.

1896 – Penubuhan pasukan Polis negeri – negeri Tanah Melayu.

1946 – Malayan Union digagaskan, dan Polis Tanah Melayu di tukar nama kepada Polis Malaya dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.

1948 – Polis Malaya ditukar nama kepada Federation of Malaya Police.

1948 – Darurat di Tanah Melayu, menyebabkan penubuhan Kawalan Keselamatan Kampung, Sukarelawan Polis dan juga Polis Bantuan bagi menjaga keamanan negara dan juga aset – aset pihak British sehinggalah tamatnya darurat.

1956 – Police Volunteer Reserve (PVR) ditubuhkan secara rasmi lanjutan dan rentetan kecemerlangan dan jasa – jasa dari peristiwa darurat dan bagi tujuan pengawasan wujudlah Police Volunteer Regulations 1956.

1957 – Auxiliary Police (AP) atau Polis Bantuan telah dimansuhkan oleh PDRM.

24 Julai 1958 – DYMM Yang Dipertuan Agong memberi gelaran Di Raja (Royal).

16 Sept 1963 – Negara Malaysia ditubuhkan dan semua pasukan polis di Sabah, Sarawak, Singapura, dan negeri-negeri di Semenanjung digabungkan menjadi satu pasukan polis sahaja.

1965 – Polis Singapura keluar dari pasukan kerana negara tersebut menjadi Republik yang berasingan dari Malaysia.

1967 – Akta Polis 1967 diwujudkan selepas Singapura keluar dari Malaysia dan telah di draf pada Tahun 1965. Akta tersebut setelah mendapat perkenan DYMM Agong ketika itu menggunakan perkataan DiRaja kepada Pasukan PDRM (Tetap), Sukarelawan Polis dan Polis Simpanan (bekas Pegawai Kanan PDRM bersara sehingga umur 60 tahun) – Rujuk akta.

1970 – Polis Bantuan telah diwujudkan semula dengan objektif yang berbeza berbanding tahun 1948, dan pada awalnya hanya syarikat – syarikat atau badan berkanun ekuiti kerajaan sahaja yang layak menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri.





Sambutan hari Polis kali ini bertemakan ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’. Ini kerana PDRM sentiasa penuh dengan komitmen dalam menjalankan tugas mereka, meski pun terpaksa berkorban nyawa dan kehidupan mereka sendiri untuk rakyat negara ini.

Buat anggota keselamatan kita yang telah syahid mempertahankan negara, terima kasih yang tidak terhingga. Al-Fatihah buat mereka yang gugur ASP Zulkifli Mamat, Sjn Sabarudin Daud, ACP Ibrahim Lebar, Kpl Mohd Azrul Tukiran, Sjn Mejar Bahrin Hamid, Sjn Mejar Abdul Aziz Sarikun dan Sjn Salam Togiran. Tidak dilupakan DSP Michael Padel.


No comments:

Post a Comment